Pemuda Yang Cuba Hidup Luar Dari Kebiasaan Orang Ramai

Apabila mendapat nasihat, dia cermat mendengar. Bukan semua nasihat dia akan terima bulat-bulat.

Dia sentiasa mencari orang-orang yang dianggap luar biasa untuk dijadikan kawan.

Bekerja dengan kerajaan atau syarikat swasta tidak pernah menjadi impiannya.

Membuat keputusan dan mengambil tindakan yang sangat berbeza daripada orang walaupun itu sangat berisiko.

Sambung pengajian

Dia menyambung pelajaran ke universiti bukan kerana itu yang disukai oleh saudara-mara dan rakan sekolah. Dia mahu mindanya menjadi terpelajar dan bijak berfikir. Mahu jadi orang berilmu dan pintar.

Dia juga memilih kursus yang dia akan bertemu dengan kawan-kawan yang hebat. Kawan-kawan yang akan menjadi orang hebat. Apabila kawan-kawannya orang elit, hidupnya juga akan menjadi elit. Walaupun dirinya bukan berasal dari orang elit.

Dia tidak mengambil pinjaman pengajian tinggi untuk membayar yuran dan menyara kehidupan semasa belajar. Tanpa pinjaman pengajian tinggi, dia tidak dapat memiliki telefon pintar sehebat orang lain. Tetapi tidak mengapa, kerana dia tahu bebanan hutang selepas habis belajar akan menyukarkan dirinya untuk berniaga.

Untuk mendapat duit dan mengasah kemahiran berniaga, dia belajar berniaga macam-macam benda di universiti.

Kerja dan pejabat

Semasa dia bekerja dengan orang lain, dia menghormati orang atasan. Jika dia mendapat arahan kerja baru, dia akan pastikan dirinya faham kenapa dia perlu buat. Dengan cara ini, dia akan dapat banyak ilmu dan pengalaman.

Kerja 40 jam seminggu – kerja rutinnya siap dengan hanya 10-20 jam sahaja seminggu. Dia akan isi masa yang lebih itu untuk buat kerja-kerja yang bermanfaat dan akan memajukan syarikat, seperti belajar dan mengkaji penyelesaian kepada masalah yang berlaku dalam syarikat. Ini bukan untuk kebaikan syarikat itu sahaja, tetapi sebagai kemahiran untuk membangunkan syarikat sendiri. Dalam masa yang sama, dia sebenarnya sedang membangunkan syarikatnya sendiri.

Balik dari kerja, dia tidak menonton Buletin Utama, itu waktu untuk dia ke masjid.

Jika perlu, dia akan menonton keesokan pagi di tonton.com.my.

Berbelanja dengan cara yang pelik

Dia ada kad kredit. Tetapi bukan untuk berhutang. Kad kredit digunakan untuk mendapat mata ganjaran yang lebih dan belian diskaun di kedai-kedai terpilih.

Dia hanya berhutang untuk membeli rumah. Ada penyewa di rumah. Dia sendiri duduk di rumah sewa yang lebih murah.

Di rumahnya tidak ada TV yang besar harga beribu ringgit. Hanya TV biasa untuk menonton berita, rencana dan mengkaji permainan konten yang digemari. Ilmu daripada kajian konten ini akan digunakan dalam kempen pemasarannya.

Hatinya murah, sentiasa bersedekah.

Dia tidak mudah percaya kepada puluhan, ratusan iklan yang dia lihat setiap hari. Jika diturut, iklan-iklan itulah yang akan membuat dia berbelanja seperti orang tidak siuman. Sebahagian daripada iklan itu mungkin dari scammer.

Kita berhak untuk beli apa sahaja kerana ia adalah hasil titik peluh usaha kita. Ia duit kita.

Dia menganggap duitnya bukan untuk berbelanja sesuka hati. Ia amanah dari tuhan yang dia mesti jawab setiap sen yang dia guna.

Dengan ini, perusahaan dan perniagaannya semakin maju.

Berjalan dan melancong

Dia suka melancong. Tetapi bukan ke tempat-tempat biasa orang pergi seperti bandar-bandar besar dan tempat yang masyhur seperti dilihat dalam filem. Dia mahu belajar perkara baru.

Jika dia melancong, dia akan duduk di kampung-kampung. Dia belajar budaya dan perangai manusia yang berbeza.

Baginya, dia dapat mengenali diri dengan melancong seperti itu. Apabila dia terputus dengan dunia rutin, dia akan berhubung dengan dunia baru.

Apabila dia pulang, dia mempunyai banyak idea-idea baru yang akan dia gunakan untuk kemajuan diri, bisnes dan manusia lain.

 

Published by

Khairul Azan Ahmad

Usahawan, penulis dan konsultan ABS Business Consulting.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *