Jika Mahu Bisnes Berkembang Besar, Jaga 3 Perkara Ini

Kita banyak dengar bisnes akan gagal pada tahun pertama, bukan?

Bisnes bermula dengan banyak perkara yang kita tidak pasti sama ada betul atau pun tidak. Bisnes yang bermula ini perlu melalui banyak proses uji-gagal untuk mendapat ‘tune’ yang betul.

Seorang penjual burger bernama Radi juga melalui proses uji-gagal semasa baru bermula.

Dia mencuba untuk berniaga di satu lokasi, kemudian dia lihat prestasi lokasi itu sama ada bagus ataupun tidak. Jika tidak bagus, dia akan cuba untuk beralih ke lokasi lain sehinggalah dia berjumpa dengan lokasi yang betul.

Dia juga akan mencuba beberapa menu dan harga sehinggalah dia berjumpa dengan harga yang betul.

Dia juga cuba berurusan dengan beberapa orang pembekal sehinggalah dia berjumpa dengan pembekal-pembekal yang serasi.

Ini adalah situasi bisnes yang baru bermula. Apabila dia sudah berjumpa dengan perkara-perkara yang betul pada keadaan bisnesnya, barulah dia beralih kepada fasa untuk membesarkan bisnes.

Fasa untuk membesarkan bisnes ini berlainan dengan fasa memulakan bisnes. Ini adalah fasa untuk mengangkat potensi bisnes kepada peringkat yang maksimum. Banyak beza di antara cara Radi menjual burger dengan cara McDonald’s menjual burger. Saiz mereka jauh berbeza.

Untuk menjadikan bisnes besar, cara pengurusan sememangnya jauh berbeza.

#1 – Merekrut dan menjaga hubungan manusia

Sumber manusia bukan sekadar pekerja yang kita bayar gaji di dalam syarikat. Ia termasuk semua orang yang terlibat secara langsung dengan bisnes.

Adakah kita mempunyai orang yang betul untuk melaksanakan kerja-kerja dalam bisnes? Adakah kita sedang berurusan dengan pembekal dan rakan strategik yang tepat untuk bisnes kita membesar? Adalah pelanggan yang kita layan sekarang merupakan golongan yang mempunyai kuasa beli tinggi untuk membawa bisnes kita ke tahap seterusnya? Adakah kita mempunyai beberapa pelabur yang perlu kita uruskan?

Satu perkara yang sukar bagi sesetengah orang yang apabila dia mahu membesarkan syarikatnya, dia perlu buat pilihan untuk menukar orang-orang ini.

Minum kopi

Puan Ainon Mohd selalu berpesan agar orang-orang bisnes aktif minum kopi dengan sesama orang bisnes. Ini adalah satu taktik untuk mengekalkan hubungan dengan manusia-manusia berkualiti demi masa depan bisnes kita.

Perkara ini perlu bermula dengan matlamat yang jelas. Apa yang kita mahu daripada setiap orang-orang ini.

Jika belum jelas, kembali semula kepada matlamat besar dan hala tuju bisnes. Kekalkan dan rekrut orang-orang yang boleh membantu bisnes kita maju ke arah mencapai matlamat.

Seandainya matlamat bisnes kita untuk menjual barangan premium, kita kena bertukar atau menambah pelanggan yang lebih berduit. Menjalin hubungan dengan pembekal-pembekal barangan yang lebih berkualiti. Rekrut orang yang lebih profesional untuk bekerja dalam syarikat.

Memecahkan fungsi dalam syarikat

Banyak pakar-pakar dalam pengurusan bisnes menekankan pentingnya meletakkan orang yang betul di tempat yang betul.

Sebelum kita berjaya meletakkan orang yang betul, fungsi-fungsi utama dalam syarikat perlu jelas dahulu.

Di antara fungsi-fungsi yang penting adalah seperti kepimpinan, pemasaran, inovasi baru, jualan, operasi, kewangan, sumber manusia dan khidmat pelanggan. Semua fungsi-fungsi ini mesti ada orang yang betul menjaganya.

Syarikat tidak dapat menjadi besar apabila lebih dari dua fungsi dijaga oleh orang yang sama. Manusia ada had untuk berfikir dan bekerja. Apabila manusia itu telah bekerja sampai hadnya, mesti ada manusia lain yang menyambung kerja jika kerjanya belum habis.

Manusia tidak dapat berfikir dengan baik dan efisien jika dia kena fikir lebih dari satu benda dalam satu masa.

#2 – Menggunakan strategi yang tajam

Strategi adalah perkara yang amat penting jika kita mahu bisnes kita bertahan lama di dalam pasaran.

Membuat pilihan

Asas kepada strategi adalah buat pilihan.

Kita tidak dapat buat semua benda kerana mempunyai keupayaan yang terhad. Dengan modal dan kemahiran ada, kita mesti pilih projek mana yang akan menghasilkan pulangan yang maksimum.

Jika kepakaran yang kita ada adalah bermain dalam bidang trading, janganlah kita masuk ke dalam industri pembuatan.

Kita juga tidak boleh buat sesuatu yang lebih hampir sama dengan bisnes orang lain.

Janganlah kita cuba membuka kedai runcit di sebelah kedai runcit orang lain, itu adalah bisnes yang sama. Kita tidak menambah apa-apa nilai baru kepada pelanggan.

Tentukan apa nilai yang pelanggan akan dapat jika mereka berurusan dengan kita. Mungkin bisnes orang lain juga menjual barangan keperluan dapur. Tetapi kita boleh bezakan kedai kita dengan susunan barang yang teratur dan kedai kita berada di lokasi yang tidak ada kedai lain seperti kita.

Kita mesti jelas siapa pelanggan kita. Barulah kita boleh ubahsuai bisnes mengikut keperluan pelanggan.

Matlamat

Menetapkan matlamat adalah penting dan sebahagian daripada strategi. Matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang.

Setiap bisnes yang mahu bertahan lama mesti tahu apa yang mahu dicapai dalam tempoh 3 bulan, 1 tahun dan 5 tahun.

Jika matlamat tidak tercapai, itu tidak mengapa. Matlamat adalah bertujuan supaya kerja-kerja kita tidak menyimpang jauh. Seandainya matlamat kita mahu mendapat 1,000 pelanggan dan ianya tidak tercapai. Tidak mengapa, biasanya sekurang-kurang kita akan mencapai 800. Jika tidak capai 800, bermakna kita sudah silap memilih bisnes daripada awal.

#3 – Operasi bisnes lancar

Kesilapan dalam operasi boleh menjadi sebab utama prestasi bisnes menurun. Penghantaran barangan yang lambat, kehadiran mesyuarat yang tidak penuh dan silap hantar invois adalah contoh operasi bisnes yang lemah.

Ramai orang kena kerja lebih masa juga merupakan amalan operasi bisnes yang tidak sihat. Ini merupakan petanda operasi bisnes tidak efisien. Lama-kelamaan orang akan burn-out dan berhenti kerja. Lebih parah lagi apabila duit syarikat banyak habis untuk bayar gaji pekerja (kerana kerja lebih masa) dan aliran tunai syarikat tercekik.

Jika syarikat menjana pendapatan di bawah ‘industry standard,’ ini adalah bahaya. Bahkan sesetengah syarikat yang berprestasi tinggi, mereka meletakkan matlamat syarikat mesti mencapai pendapatan 3 kali ganda ‘industry standard.’

Komunikasi

Komunikasi mesti berlaku secara kerap, tepat, dan jelas. Di awal bisnes, amalkan diskusi setiap hari. Setelah bisnes berjalan dengan baik, barulah boleh diadakan secara mingguan sahaja.

Kesilapan dalam komunikasi boleh membawa kepada perbalahan. Ini akan melemahkan operasi.

Maklumbalas pelanggan

Mengumpul maklum balas pelanggan sangatlah penting. Bisnes yang berjaya adalah bisnes yang betul-betul kenal pelanggan mereka.

Penjual burger yang solo, cukuplah sekadar dia mendegar rungutan dan pujian pelanggan. Dia boleh ingat sebahagian sudah cukup.

Tetapi jika bisnes menjadi semakin besar, pengurusan data pelanggan adalah amat penting. Analisa data mesti dibuat agar keputusan bisnes dapat dibuat dengan tepat.

.

Semua orang dalam syarikat mesti jelas dengan matlamat syarikat. Tampalkan matlamat itu pada dinding-dinding agar semua orang boleh lihat. Ini dapat memastikan kerja-kerja dalam syarikat sentiasa berada di atas landasan yang betul.

Published by

Khairul Azan Ahmad

Usahawan, penulis dan konsultan ABS Business Consulting.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *