Bekerja Secara Bebas Mengikut Masa dan Gaya Kita Sendiri

 

freedom-1

Cara tradisional untuk berjaya dalam kerjaya adalah dengan mendapat pekerjaan tetap yang menawarkan gaji yang bagus, dan jaminan kerja sehingga bersara.

Orang sanggup menderita puluhan tahun melakukan kerja rutin, dan meninggalkan keluarga jauh dari pandangan mata semata-mata untuk memastikan mereka tidak hilang pekerjaan yang mereka sedang lakukan sekarang.

Bekerja dengan syarikat orang lain mempunyai tekanan tersendiri yang bukanlah menyeronokkan:

  • Perlu masuk ofis di waktu pagi dan keluar pada waktu petang.
  • Perlu bekerja dengan orang yang tidak menyenangkan kita.
  • Perlu meletakkan kerja sebagai prioriti utama.
  • Patuh untuk melakukan kerja-kerja operasi yang ditetapkan dan tidak boleh membuat kerja semasa waktu pejabat.
  • Perlu menghadapi politik pejabat.
  • Tidak mendapat kehidupan yang seimbang, kadang-kadang pulang di tengah malam.

Hari ini, kita mula melihat ada syarikat yang memberhentikan pekerja-pekerja mereka yang berkualiti untuk menjaga aliran tunai syarikat mereka.

Zaman ekonomi baru

Teknologi telah membawa perubahan kepada gaya kerja yang tidak pernah berlaku sebelumnya. Gaya kerja yang membolehkan kita mencapai matlamat kewangan dengan cara yang bebas tanpa perlu masuk ke pejabat setiap hari.

Dengan teknologi, bekerja secara bebas adalah lebih mudah dan murah.

Biasanya saya menulis artikel menggunakan laptop. Ada kawan saya, kalau setakat artikel blog dan facebook ‘post,’ dia guna iphone sahaja. Kadang-kadang, sejurus sahaja habis kami berbual-bual, dia bersandar dan terus menaip menggunakan iphonenya. Barangkali, dia mendapat idea sewaktu berbual-bual.

 

Kita boleh memilih untuk berniaga dan bekerja di tempat dan masa yang kita pilih. Kita boleh memilih untuk menyibukkan diri dalam bidang yang kita suka. Dan pendapatan yang kita perolehi jauh lebih dari cukup untuk menampung keperluan keluarga dan diri sendiri.

Tuan Aizat Razak, jurulatih fitness menawarkan coaching melaui whatsapp dan telegram. Klien akan bayar ‘monthly fee’ kepadanya dan dia akan berhubung setiap hari dengan melalui whatsapp dan telegram.

Teknologi yang ada sekarang cukup untuk membolehkan kita melakukan projek-projek bebas yang diuruskan sendiri secara solo seperti itu.

Ini membolehkan kita memiliki bisnes dan mencipta keuntungan. Dan yang lebih penting adalah kita tidak mengabaikan perkara yang menjadi minat dan kemahuan kita.

Seorang trader saham yang saya kenal membuat keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan. Dia tidak perlu pergi ke pejabat setiap hari. Cukup dengan menganalisis saham-saham syarikat menggunakan laptop dan huawei p8 sahaja.

Kita boleh bermula secara separuh masa dengan mengekalkan kerja dalam pejabat yang kita ada sekarang. Masa demi masa, setelah pendapatan kita daripada kerja separuh masa itu meningkat baik, kita boleh memilih untuk berhenti atau terus bekerja.

Seorang blogger, Puan Siti Asmaa dari Travelog.my menjana pendapatan daripada blognya.

Dia juga pernah membuat duit dari fiverr.com dengan menawarkan servis dan menjana pendapatan sebanyak RM12,000.

Gaya kerja yang bebas membolehkan kita meletakkan matlamat untuk memperoleh pendapatan yang lebih dengan kerja yang kurang.

Jika kita tidak merancang, kita akan masuk dalam perancangan orang lain.

Published by

Khairul Azan Ahmad

Usahawan, penulis dan konsultan ABS Business Consulting.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *