Bagaimana Menjadi Pemimpin Yang Dicintai, Bukan Bos Yang Dibenci

Seorang bos atau pengurus mempunyai kuasa-kuasa yang diberikan kepadanya berdasarkan jawatannya. Namun, kepimpinan bukan setakat menggunakan kuasa-kuasa rasmi bagi melaksanakan tugas-tugas pengurusan dengan lancar.

Seseorang boleh dilantik untuk menjadi pengurus. Tetapi beliau hanya boleh menjadi pemimpin apabila beliau diterima sebagai pemimpin oleh orang yang berada di bawahnya.

Pengurus mengutamakan kerja-kerja membuat perancangan, menyusun, mengarah, dan mengawal kerja-kerja orang bawahan.

Pemimpin memberi tumpuan pada komunikasi, motivasi, mendorong, dan melibatkan mereka yang dipimpin.

Untuk berjaya dan bertahan lama, sebuah bisnes memerlukan pengurus-pengurus yang boleh menjadi pemimpin.

Perkara-perkara berikut boleh dilakukan untuk untuk seorang pengurus menjadi pemimpin.

#1 – Sayangi orang bawahan

Tiada orang dapat memimpin dengan baik sehinggalah dia berasa seronok bekerja dengan orang bawahannya. Manusia tidak seperti makhluk lain. Manusia mempunyai personaliti yang unik, perwatakan berbeza, dan bakat yang tersendiri.

Sebagai pemimpin, keseronokan kita adalah pada membantu orang bawahan dan melihat mereka berjaya berdasarkan keunikan masing-masing.

#2 – Berikan dorongan, bukan mengawal

Pengurus merasakan mereka perlu mengawal setiap tindakan orang bawahan. Dengan istilah lain, ia disebut pengurusan mikro. Pengurusan mikro adalah sesuatu yang sangat tidak disukai oleh orang bawahan.

Seorang pemimpin tahu bahawa pasukannya akan mencapai kejayaan hebat apabila mereka menerima panduan dan sokongan, bukan kawalan secara mikro.

Pemimpin memberikan panduan kerangka kerja dan struktur. Kemudian, dia memberikan kuasa kepada orang bawahan untuk melakukan kerja mengikut cara yang mereka selesa. Dan sepanjang orang bawahan menjalankan kerja itu, pemimpin memberikan sokongan.

#3 – Beradaptasi

Pengurus cenderung untuk menjadi ‘rigid’ atau tetap dengan caranya. Manakala pemimpin faham mereka mesti menyesuaikan gaya personal mereka dengan keperluan pasukan yang dipimpin. Pemimpin faham dan melihat nilai yang ada pada orang bawahan secara individu. Kemudian dia menyesuaikan cara kepimpinan berdasarkan apa yang dia lihat.

#4 – Menurunkan kuasa

Pengurus tidak percaya orang lain boleh buat kerja lebih baik dari dirinya. Kerana itu, dia tidak dapat menurunkan kuasa secara sepenuhnya.

Pemimpin pula menurunkan kuasa sepenuhnya, dan pejam mata. Dia cuma akan buat ‘follow-up’ secara berjadual sekali-sekala untuk memastikan orang bawahannya masih ‘on-track’ untuk mencapai hasil yang diharapkan.

#5 – Berikan pujian, terima kritikan

Ada pengurus yang suka untuk menerima pujian terhadap kerja yang dilakukan oleh orang bawahan. Malah, orang bawahan pula yang dipersalahkan seandainya matlamat kerja tidak tercapai.

Sebaliknya, pemimpin adalah orang yang sentiasa sedar bahawa kejayaan adalah hasil dari titik peluh pasukannya. Dia memberikan kredit pada orang bawahan apabila kejayaan dicapai. Jika gagal, ia menerima itu mungkin kelemahan dirinya dalam kepimpinan.

#6 – Belajar mengambil risiko

Ada juga pengurus yang mengelakkan sebarang risiko kerana terlalu takut akan kegagalan. Dia suka untuk sentiasa berada pada zon selamat.

Pemimpin pula tahu, kejayaan datang dengan mengambil risiko yang telah dikira. Pemimpin memberi kebenaran dan menggalakkan ahli pasukannya mencuba perkara baru. Pemimpin sentiasa melihat kesilapan dan kegagalan sebagai peluang untuk berinovasi.

#7 – Memotivasi

Pengurus menggerakkan orang bawahan dengan mengugut dan menakutkan mereka.

Pemimpin pula memotivasi dengan sentiasa memikirkan apakah perkara yang akan mendorong ahli pasukannya untuk menggunakan seluruh potensi yang ada. Pemimpin melihat kehebatan dalam setiap individu dalam pasukan walaupun individu itu sendiri tidak dapat melihat keupayaan yang ada dalam dirinya.

Pemimpin meraikan setiap kejayaan tidak kira kecil ataupun besar.

Published by

Khairul Azan Ahmad

Usahawan, penulis dan konsultan ABS Business Consulting.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *