Bagaimana Membaca Satu Buku Setiap Minggu

Semasa saya baru habis sekolah menengah, saya hadir ke satu ceramah. Penceramah bertanya kepada audiens; “berapa banyak buku yang anda baca dalam satu tahun?” Saya mula berfikir dan kira. Rupanya tidak sampai satu buku pun setahun saya baca. Penceramah itu menyarankan agar kita membaca sekurang-kurang 10 buku setahun. Lebih bagus jika dapat baca 100 buku setahun.

Apabila saya terlibat dalam dunia penulisan, saya terpaksa membaca banyak buku, terutamanya buku-buku ‘non-fiction.’

Rupa-rupanya aktiviti membaca menghabiskan banyak masa saya. Dengan kerja-kerja lain yang banyak, mana sempat saya hendak membaca buku.

Saya mula mencari maklumat dan teknik bagaimana saya boleh membaca dengan cepat.

Pada suatu ketika, ada seorang rakan memberitahu saya: “Jika kamu lambat menghabiskan buku yang kamu baca, bermakna kamu sedang membaca buku itu perkataan demi perkataan.”

Rupa-rupanya cara membaca saya salah, saya membaca semua buku seperti saya membaca buku cerita novel. Membaca novel perlukan penghayatan perkataan demi perkataan agar kita boleh masuk ke dalam imaginasi penulis. Tetapi, membaca buku ‘non-fiction’ bukan begitu.

Rakan saya memberitahu lagi: “kamu tidak perlu membaca buku, kamu hanya perlu memahami isi kandungannya.”

Ada beberapa teknik membaca dengan cepat yang saya jumpa. Berikut adalah satu teknik yang saya suka guna, yang di ajar oleh seorang Professor.

#1 – Mula dengan biodata penulis

Siapakah yang menulis buku yang kita mahu baca itu? Baca biodata dan biografi penulis. Jika maklumat penulis tiada dalam buku, cuba Google untuk mencari biodata penulis. Dengan mengetahui biodata penulis, kita boleh cepat faham isi kandungan buku dengan melihat buku itu pada sudut pandang penulis.

#2 – Baca tajuk dan isi kandungan

Apakah gambaran besar terhadap kandungan buku yang kita mahu baca. Apakah isu utama yang ingin dibicarakan. Dengan melihat senarai isi kandungan buku, kita sudah tahu apa isi kandungan buku itu sebenarnya.

#3 – Baca pengenalan dan penutup

Penulis biasanya akan mengutarakan isu utama pada bahagian pengenalan dan penutup sesebuah buku. Baca dua bahagian ini perkataan demi perkataan dengan cepat. Kita akan dapat gambaran kasar ke mana penulis akan bawa kita dalam pengenalan. Pada bahagian penutup, kita akan dapat tahu apa matlamat akhir yang penulis mahu kita capai dengan membaca bukunya.

#4 – Baca sepintas lalu setiap bab

Baca tajuk bab dan beberapa perenggan atau muka surat untuk kita tahu apa perkara utama yang mahu dibincangkan dalam bab itu. Kemudian lihat sepintas lalu subtopik-subtopik yang ada dalam bab itu untuk nampak alirannya.

Kemudian baca ayat pertama dan terakhir pada setiap perenggan. Jika kita sudah faham maksud perenggan itu, berpindah kepada perenggan yang seterusnnya. Jika tidak, cuba baca keseluruhan perenggan.

Setelah kita dapat memahami isi bab itu, lihat sepintas lalu sahaja kesemua muka surat.

#5 – Baca senarai isi kandungan sekali lagi

Setelah kita habis membaca, lihat sekali lagi senarai isi kandungan dan rumuskan apa yang telah kita baca ke dalam minda. Ambil masa seketika untuk mengingat kembali aliran buku, poin-poin, dan cerita-cerita.

.

Dengan menggunakan cara ini, kita boleh membaca sebuah buku setiap minggu. Bahkan mungkin dua atau tiga.

Published by

Khairul Azan Ahmad

Usahawan, penulis dan konsultan ABS Business Consulting.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *