Ada Kerja Tertentu Yang Lebih Bagus Jika Tidak Dibayar Upah

Banyak dari kalangan orang-orang bijak pandai berbeza pendapat sama ada penderma darah patut diberi bayaran atau pun tidak.

Seorang ahli sosiologi mengatakan memberi bayaran kepada penderma darah bukan sahaja tidak bermoral, malah cara itu tidak akan menambah bilangan penderma darah.

Seorang ahli ekonomi di Sweden mahu menguji adakah pendapat ahli sosiologi itu benar. Lalu dia melawat sebuah pusat tabung darah di Gothenburg dan bertemu 153 orang wanita yang berhajat mahu menderma darah.

Wanita-wanita ini kemudiannya dibahagikan kepada 3 kumpulan.

Wanita dalam kumpulan yang pertama, mereka diberitahu bahawa menderma darah adalah kerja sukarela. Mereka tidak akan mendapat apa-apa bayaran untuk menderma darah.

Kumpulan yang kedua, mereka dibayar sebanyak 50-kronor jika mereka menderma darah.

Kumpulan yang ketiga pula, mereka akan dibayar 50-kronor juga jika mereka menderma darah. Dan mereka diberi pilihan untuk mendermakan duit itu kepada badan kebajikan sejurus selepas selesai menderma darah.

Keputusannya, 52% wanita daripada kumpulan pertama memilih untuk menderma darah.

Ramai yang menyangka kumpulan kedua adalah kumpulan yang paling ramai memilih untuk menderma darah. Tetapi, hanya 30% wanita dari kumpulan kedua yang memilih untuk menderma darah.

Kumpulan yang ketiga pula, lebih ramai yang mahu menderma darah berbanding kumpulan pertama iaitu sebanyak 53%. (Mereka dapat buat dua kebajikan iaitu menderma darah dan menderma wang)

Pendapat ahli sosiologi itu betul. Orang menderma bukan kerana upah yang mereka terima, tetapi kerana kepuasan dalaman yang mereka dapat.

.

Ada sebahagian kerja dalam syarikat kita yang orang lakukan bukan sebab hendak mendapatkan upah.

Kita mesti kenal pasti kerja yang manakah orang akan buat lebih baik apabila kita berikan upah, dan kerja manakah yang orang lakukan untuk kepuasan dalaman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *